Monday, October 11, 2010

Bermimpilah...

Setiap kali tidur, pasti mimpi akan menjengah. Walaupun aku tertidur di dalam kelas atau di dalam bas, pasti aku akan bermimpi. Kadang-kadang mimpi itu indah, kadang-kadang mimpi itu ngeri. Aku percaya, kadang-kadang suatu mimpi itu merupakan petunjuk kepada sesuatu.

Aku tahu, ramai di luar sana yang tidak percayakan mimpi. Ada yang mengatakan mimpi hanyalah mainan tidur, malah ada yang bencikan mimpi! Mereka mengatakan mimpi membuatkan mereka letih. Mimpi menganggu waktu tidur mereka!

Apa-apa pun yang mereka kata, aku tetap dengan pendirian aku. Aku suka bermimpi. Bagiku, mimpi adalah tempat dan waktu di mana otakku boleh mencapai apa yang tidak boleh dicapai di alam realiti. Semasa bermimpilah otak kita menjadi lebih kreatif.

Kebetulan pula malam tadi, aku menonton saluran Discovery Science mengenai otak manusia. Dikatakan apabila manusia tidur, pada masa ini semua anggota badan lain sedang berehat dan tidak bergerak. Lalu, pada masa inilah semua...SEMUA bahagian di dalam otak akan bangun dan berhubung antara satu sama lain! Dan sebab itulah manusia bermimpi. Oh, jangan tanya kalau anda tidak bermimpi...aku tidak tahu. Aku hanya melaporkan...

Di sini, aku ingin berkongsi suatu mimpi yang tidak dapat aku lupakan sepanjang hayatku. Ianya berlaku semasa aku di tingkatan tiga. Pada masa itu, aku sibuk mengulangkaji untuk peperiksaan pertengahan tahun. Masa itu, aku bencikan subjek Sejarah. Aku tidak suka menghafal segala tarikh dan kadang-kadang aku tidak memahami peristiwa yang berlaku.

Satu tabiatku, apabila membaca pasti mengantuk. Sudahlah aku membaca di atas katil, pastinya bertambah-tambahlah mengantuk. Aku sedang membaca buku Sejarah waktu itu. Aku terus letak tepi dan tidur. Semasa tidur, aku bermimpi....

Waaahhhh!!! Aku kini sedang berada di zaman sebelum penjajahan British! Aku berada di zaman kegemilangan Melaka! Semasa Melaka menjadi pusat perdagangan yang sangat terkenal! Aku dapat melihat aktiviti-aktiviti perdagangan berlangsung di depanku! Semua orang sibuk menurunkan barang dagangan dari atas kapal. Yang perempuan memakai baju kurung dan selendang nipis di atas kepala. Yang lelaki memakai baju melayu, mengikat kain di kepala dan pinggang. Semua di hadapanku seperti betul-betul berlaku!

Apabila tersedar dari tidur, pandanganku pada Sejarah berubah 180 darjah. Aku mula meminati Sejarah dan aku mula mendapat markah yang tinggi. Semuanya hanya kerana sebuah mimpi...

Ada banyak lagi mimpi yang aku alami menjadi kenyataan atau menjadi petunjuk untuk perkara yang berlaku. Aku akan kongsikan lain kali...

Bermimpilah...
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Popular Posts