Tuesday, November 30, 2010

kerja oh kerja

Sebaik sahaja thesis dihantar kepada pensyarah yang juga bertindak sebagai mentor aku, perasaan memanglah tersangat lega. Akhirnya selesai juga pengajianku selama 3 tahun dalam bidang bahasa gunaan. Thesis yang berkisar tentang penggunaan Facebook dan Bahasa Inggeris itu, aku pasti tak akan menghampakan aku dan juga mentor itu.




Tapi, aku tahu...perjalananku tak terhenti di situ sahaja. Masih banyak yang aku perlu uruskan walaupun gred kumulatif hanya akan diketahui dalam masa sebulan lagi. Aku perlu membuat pengesahan dengan JPA bahawa aku sudah tamat belajar kerana badan itu yang menaja pengajianku selama ini. Aku juga harus membuat permohonan jawatan dalam laman web SPA kerana aku diminta untuk berkhidmat selama 4 tahun dengan kerajaan...




Dan....di situlah bermulanya kehidupan aku sebagai PEMBURU KERJA. Tapi apa yang menariknya, aku tak keluar berjalan ke sana ke mari, turun naik tangga pejabat, atau apa-apa sahaja yang orang lain akan buat untuk cari kerja. Habis, apa aku buat? Aku hanya perlukan INTERNET!!! hahaha...pada mulanya, aku pun tak sangka yang aku akan buat begini. Mencari kerja dengan hanya duduk di depan komputer!




Perkara pertama yang paling penting ialah RESUME! Jadi, aku sediakan resume dalam 2 bahasa iaitu BM dan BI. Nanti senang, bila aku dah jumpa jawatan yang aku cari, aku hanya baiki dan tambah apa yang diperlukan dan terus hantar. Erm...apa jawatan yang aku nak tu? Sebenarnya, aku sangat berminat nak jadi cikgu. Tapi itu dulu....sebelum aku melanjutkan pengajian dalam bidang ini. Sekarang, aku sangat....amat....teramat mahukan jawatan sebagai EDITOR atau PENTERJEMAH. Kenapa?




Sebab utama, sebab MINAT aku yang mendalam dalam bidang itu setelah aku menjalankan latihan praktikal di Institut Terjemahan Negara. Aku rasakan, inilah bidang yang paling sesuai dengan aku. Dari segi keupayaanku, aku yakin yang aku dapat bekerja dengan cemerlang dalam bidang ini. Jadi, sebaik sahaja mendaftar di laman web JenJobs dan Jobstreet, aku hanya mencari jawatan sebagai editor.




Hampir setiap malam, aku mencari melalui internet...aku menggunakan khidmat Google untuk mencari kerja kosong terkini di Malaysia. Memang ada banyak kerja di Malaysia ini tapi aku tak yakin untuk mencuba bidang lain seperti customer service etc. Mungkin inilah yang dikatakan memilih kerja? Mungkin...




Lama-lama, aku jadi bosan pula mencari kerja. Sudah 2, 3 bulan aku menghantar resume kepada berbagai-bagai agensi sama ada swasta atau kerajaan. Hampir semua tak ada jawapan. Haih...aku semakin malu pada orang kampung yang sibuk bertanya bila aku akan kerja? Bagi aku, inilah masanya untuk aku luangkan masa bersama keluarga kerana bila aku dah mula kerja nanti, mungkin aku akan jadi sibuk sampai tak sempat nak balik, betul kan?




Ditakdirkan, satu hari aku dapat panggilan untuk pergi temuduga di Cheras. Syarikat buku. Walaupun masa tu baru tiga hari umat Islam berpuasa, aku pujuk mak aku untuk benarkan aku pergi temuduga...dan aku pergilah. Aku memang buat persediaan yang rapi. Dari segi mental, pakaian, dan blabla...Tapi, apa yang mengejutkan aku ialah bila penemuduga katakan, kelayakan ijazah yang aku ada terlampau TINGGI untuk jawatan editor itu. Hah?? Terkejut aku tapi aku tak tunjuk. Mungkin dia nak provok aku kot? Aku katakan, apa-apa pun, aku masih boleh belajar mengadaptasi diri dengan keadaan sekitar...tak taulah, dia hanya tersenyum. Mungkin aku masih muda dan mentah pada fikiran dia. Ya lah, mahu jadi editor pada umur 21??? apa-apa sahajalah...jawatan itu bukan ditakdirkan untuk aku.




Aku pun pulang ke kampung...aku tak kecewa malah aku bangga kerana aku sudah ada pengalaman pergi temuduga untuk kerja. Itulah temuduga pertama aku dalam tempoh 5 tahun. 5 tahun lepas aku ditemuduga untuk memasuki pra-TESL yang mana aku gagal. Dan kali ini, aku tahu aku tak akan dapat kerja itu tapi hatiku puas.




Walaupun aku menganggur, sebenarnya aku anggap diriku sebagai HOUSE MANAGER atau pengurus rumah. Kerana aku bantu emak untuk kemas rumah, memasak, ajar adik-adik mengaji, tolong nenek dan atuk di kedai, dan bermacam-macam lagi. Aku tidak hanya goyang kaki di rumah seperti orang lain. Jadual aku penuh dan aku gembira.




Namun, setelah 5 bulan di rumah, aku jadi pasrah. Tiba-tiba hatiku terdetik untuk menyambung pengajian ke peringkat sarjana (masters). Sebenarnya itulah cita-cita asalku. Namun, disebabkan kewangan, aku ingin menangguhkan dulu hasrat itu...tapi sekarang, aku jadi berbelah bahagi. Mahu kerja atau sambung belajar???




Aku pun mula buka laman web IPTA yang ada kat negara nie dan tengok2, permohonan untuk ke masters semuanya dah tutup termasuklah universiti yang aku pernah belajar dulu. Kecewa. Tak tahu apa nak buat. Aku dah letih nak cari kerja...dan keinginan untuk belajar semakin kuat.

Lalu, aku bermohon kepada Yang Esa. Ya Allah Ya Tuhanku, hanya Engkau yang tahu apa yang terbaik untukku. Berikanlah aku apa yang baik itu dan permudahkanlah urusanku untuknya. Amin....



Satu hari, pensyarah yang juga mentorku dahulu menghubungiku. Katanya pihak universiti ingin menawarkan tempat untukku menyambung pengajian. Aku jadi hairan. Aku tak pernah hantar permohonan tapi bagaimana aku boleh dapat? Mentorku itu menjawab, disebabkan keputusanku yang cemerlang, pihak UiTM ingin menawarkan tempat kepadaku. Oh?? Aku sambut berita itu dengan penuh kesyukuran. Sungguh tak sangka! Akhirnya, aku pasti, inilah jalan untukku sebelum memasuki alam kerjaya. Walaupun aku masih tak pasti tentang kewanganku, aku yakin Allah ada untuk membantuku. Semoga perjalanan aku selepas ini lancar dengan izin-Nya, amin...
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Powered By Blogger

Popular Posts